Selasa, 12 Oktober 2021

Episod 5. Balik Kampung.

 Episod 5. Balik Kampung.


*****


Aminah pulang ke kampung dengan menaiki bas Mutiara Ekspres. Sepanjang perjalanan, Aminah banyak termenung sambil mendengar kembali rakaman seminar bersama penceramah terkenal Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa. Aminah sangat meminati ceramah atau tazkirah yang disampaikan oleh Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa.


"Terasa perjalanan ini terlalu panjang. Tidak seperti kebiasaan", getus hati Aminah. Rakaman seminar itu, telinganya mendengar, tapi hatinya sangat tidak keruan. Fikirannya berkecamuk. Dadanya bagaikan ombak berhempas pulas memukul tepian pantai.


"Huh...", Aminah mengeluh berat. Seberat fikirannya mengenangkan nasib Joyah.


"Guano mengeluh tu, dik", tegur penumpang di sebelah. 


Aminah berpaling ke kiri sekadar melemparkan senyuman kepada penumpang yang menegurnya tadi.


"Maaflah dik, Abe nak mintak tolong adik perlahankan sedikit kuliah adik tu. Bulih mengganggu penumpang lain nok tido", pinta penumpang sebelah dalam loghat negeri Che Siti Wan Kembang.


Rupanya Aminah terlupa untuk menyambung 'headphone' kepada telefon pintarnya. "Ya Allah, saya tak perasan. Saya minta maaf ye", pinta Aminah pula sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Rupanya Aminah hanya memakai "headphone" itu, tetapi tidak pula dia menyambungnya kepada telefon pintarnya.


"Bereh dik', jawab penumpang itu sambil membuat isyarat ibu jari.


Tersengih sendirian Aminah. "Banyak betul yang tidak kena pada hari ini", getus hati Aminah. Bermula dengan pergaduhan kecil dengan Jijah sebelum bertolak ke stesen bas awal pagi tadi dan hampir terlanggar tiang semasa berjalan takut terlepas bas.


Ketika itu Aminah sedang bersiap-siap, Joyah pula nak membantu Aminah mengangkat beg dan letakkan di muka pintu. Joyah terpandang beberapa helai telekung mihrab di dalam beg Aminah, lalu bertanya kepada Aminah: "Banyaknya telekung kau beli. Hendak beri kepada siapa?". 

"Oh, aku nak hadiahkan kepada mak aku, mak kau dan Hajjah Maksu Ti", jawab Aminah berhati-hati. Bimbang ada yang terlepas cakap nanti. 


"Banyak lagi ni, ada 2-3 helai lagi ni", tambah Jijah ingin tahu.


"Saja beli lebih mungkin boleh beri kepada sesiapa...", pintas Aminah sambil membuka pintu bilik.


Secepatnya Jijah menarik tangan Aminah sambil berkata: "Ke kau nak balik kampung ni sebab kau nak jumpa Joyah?".


Kaget juga Aminah dengan tingkah Jijah.


"Aku balik kampung sebab aku rindukan mak dan ayah aku, Kan aku dah lama tak balik kampung", jelas Aminah ringkas.


"Kau saja kan nak naikkan amarah aku", tinggi suara Jijah.


Aminah yang sudah masak dengan perangai Jijah lantas berkata: "Aku tak sebut pun nama Joyah. Kau yang sebut nama dia. Dah la, aku nak cepat ni. Nanti tertinggal bas pula. Kau ada nak kirim apa-apa tak untuk mak kau?". Aminah bijak mengalih topik.


"Nah, sampaikan salam aku kepada mak aku, mak ayah kau dan Hajjah Maksu Ti", Jijah mula mengendurkan suaranya sambil menghulurkan sehelai sampul surat berwarna putih.


Aminah menyambutnya dan memasukkan ke dalam tas tangannya sambil berkata: "Okey, aku pergi dulu. Assalamualaikum'.


Lamunan Aminah tersentak dengan bunyi ada SMS yang diterimanya. Jijah memohon maaf di atas perkara tadi dan mendoakan keselamatan Aminah dan selamat sampai ke kampung halaman. Lega hati Aminah sementelah membaca SMS itu.


Setibanya Aminah di stesen bas Teluk Gah, Aminah di sambut gembira oleh Kak Natrah, Kakak Joyah. Dah lama Kak Natrah menunggu bas Aminah sampai. Sengaja Kak Natrah datang awal, nak melihat suasana pekan Teluk Gah katanya.


"Pekan kita ni dah tak semeriah dulu kan", Kak Natrah mula berbicara sambil memandu.


"Yelah Kak Natrah, Aminah pun berasa begitu", jawab Aminah sambil menjengah ke luar tingkap. "Dah lama tak dapat merasa udara segar macam ni, nyaman je", tambah Aminah.


"Emm, apa khabar dengan Jijah?", Kak Natrah mula bertanya tentang Jijah.


"Alhamdulillah, Jijah baik-baik je Kak Natrah", jawab Aminah ringkas.


"Jijah sudah tahu ke tentang Joyah?", tanya Kak Natrah lagi.


Aminah sekadar menggeleng sambil memalingkan wajahnya kepada Kak Natrah. Kak Natrah memahami gelengan Aminah. Kak Natrah menekan pedal minyak memecut laju apabila lampu isyarat mula berwarna kuning.


Suasana kembali sepi. 


Sesekali Kak Natrah mengerling ke arah Aminah yang begitu asyik melihat pemandangan di luar.


"Aminah nak balik rumah dulu kan?" tanya Kak Natrah memecah sepi sambil membelok ke kiri masuk ke simpang ke Kampung Gatal.


"Aminah nak balik rumah dulu. Dalam petang sikit Aminah pergi rumah Kak Natrah ye", jawab Aminah.


"Yelah, SMS je Kak Natrah. Kak Natrah datang ambil Aminah nanti", pelawa Kak Natrah.


"Takpelah Kak Natrah, bukannya jauh pun. Lagipun Aminah rindu nak naik basikal keliling kampung", jawab Aminah sambil tersenyum lebar. 


"Elok lagi ke basikal tu dah berbulan-bulan ditinggalkan...", usik Kak Natrah.


"Aminah ada telefon mak semalam, bagitahu mak yang Aminah nak balik hari ini. Sambil tu sajalah bertanya tentang basikal. Mak cakap masih elok lagi. Mak pun kadang-kadang naik basikal tu pergi ke kedai Cik Gayah beli barang dapur", jelas Aminah beria. Nampak benar Aminah begitu teruja rindu nak berbasikal keliling kampung.


Lima minit kemudian, sampailah mereka di rumah Aminah.


Tak sempat Kak Natrah menarik 'hand break', terus dibukanya pintu kereta. Rindu sungguh Aminah kepada Mak Bedah dan Pak Mus. Tersenyum Kak Natrah melihat gelagat Aminah.


"Assalamu'alaikum mak, ayah. Aminah dah balik ni", Aminah memberi salam. Tapi tidak bersahut.


"Eh, ke mana mak dan ayah ni. Pintu berkunci", omel Aminah. Aminah menuruni anak tangga dan berlari kecil meluru ke belakang rumah. "Mungkin mak sibuk di dapur kot", getus hati Aminah.


Tak sempat Aminah memanggil emaknya, jiran belakang rumah; Cik Dah datang mendekati Aminah seraya berkata: "Kau dah balik ye Aminah. Mak kau dah bagitahu Cik Dah yang kau nak balik kampung hari ni. Mak dengan ayah kau baru je keluar tadi. Dia ada bagi kunci rumah ni haa...". 


"Terima kasih Cik Dah", ujar Aminah sambil menyambut huluran kunci rumahnya.


"Mak ke mana ye, Cik Dah?", soal Aminah sambil memasukkan anak kunci ke dalam tombol pintu.


"Entahlah Aminah, Cik Dah pun tak sempat nak bertanya. Nampak mak kau tergesa-gesa je tadi", jawab Cik Dah sambil berlalu pergi.


Kak Natrah datang membawa beg-beg Aminah.


"Mak kau tiada di rumah ke, Aminah?", soal Kak Natrah.


"Ye, Kak. Ada urusan mustahak kot", jawab Aminah sambil masuk ke dalam rumah.


"Kak Natrah duduklah dulu. Aminah buatkan air", pelawa Aminah sambil membawa masuk beg-begnya ke dalam rumah.


"Takpelah Aminah, lain kali jelah. Akak nak singgah warung Cik Nah sekejap. Nak beli lauk untuk makan tengah hari", jelas Kak Natrah sambil tersenyum.


"Kalau begitu, takpelah. Aminah nak ucap terima kasih banyak-banyak Kak Natrah sudi luangkan masa jemput Aminah di stesen bas hari ni", ujar Aminah sambil memasukkan sesuatu ke dalam kocek baju Kak Natrah.


"Laa, apa ni. Takyahlah. Kita kan sekampung. Kenalah hidup tolong-menolong", Kak Natrah nak memulangkan semula kepada Aminah.


Aminah bertegas juga sambil tersenyum.


"Yelah, akak terima. Terima kasih Aminah. Jumpa petang ni ye", ujar Kak Natrah sambil berlalu pergi menuju ke keretanya. 

"In sya Allah, sama-sama Kak Natrah", ujar Aminah sambil melambai-lambaikan tangan sehingga kereta Kak Natrah hilang dari pandangan.


Aminah kembali masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Perut Aminah berkeroncong. Manakan tidak, sejak dari pagi tadi lagi dia belum menjamah apa-apa makanan. Teruja nak balik kampung sampai terlupa untuk makan. Tersengih Aminah mengenangkan kejadian hari ini. Mata Aminah melirik ke arah tudung saji berwarna jingga tersergam di atas meja. Aminah membukanya. 


"Oh, mak sudah siap masak rupanya. Ke manalah mak dan ayah pergi ye", omel Aminah sendirian.


*****


Bersambung.


*****


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah


31 Ogos 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan