Jumaat, 27 Ogos 2021

Episod 4. Orang Baru. Siapa tu?.

 Episod 4. Orang baru. Siapa Tu?.


*****

"Eh, mana semua orang ni? Senyap sunyi je", Jijah mengomel sendirian. Jijah terlelap selepas solat subuh dan mengaji di ruang tamu.


Sudah menjadi kebiasaan, semua isi rumah solat berjemaah di ruang tamu dan tadabbur al-Quran bersama. Solat berjemaah sudah menjadi kelaziman bagi Kak Midah sejak menuntut ilmu dahulu. Usrah yang diikuti Kak Midah mendidik Kak Midah menjadikan solat berjemaah sebagai sumber kekuatan dan pemangkin semangat untuk meneruskan aktiviti seharian. Kak Midah mengambil kesempatan melatih adik-adiknya menlazimi solat berjemaah sebagai rutin harian.


Tambahan pula, kehadiran wabak yang telah sekian lama melanda negara Malaysia dan seluruh dunia sungguh menguji keimanan kita. Bukan sekadar aktiviti harian yang terjejas, malah aktiviti agama, sosio-ekonomi juga turut menerima  tempias yang sama. Pandemik ini sudah lama berlarutan sejak awal tahun 2020. Kesabaran seluruh negara teruji. Ujian yang dahsyat ini perlu dilalui dengan sabar yang utuh. Keutuhan iman dan taqwa perlu dibajai dengan solat, puasa, zikir dan doa saban waktu. Apatah lagi kita berada di akhir zaman, fitnah begitu dahsyat melata sana-sini. Kecanggihan teknologi jika tidak diurus dengan berhati-hati, mudah menjerumuskan kita ke dalam kancah maksiat mahupun jenayah.


"Oh, lupa. Aminah pulang ke kampung hari ini", omel Jijah lagi. 


Fazila dari tadi lagi memerhati gelagat Jijah dan seraya berkata: "Kak Jijah, kenapa Kak Jijah cakap sorang-sorang ni?".


"Tiada apa. Ingatkan semua orang tiada di rumah. Sunyi je", balas Jijah sambil tersenyum.


"Alah, Kak Jijah berasa sunyi sebab Kak Aminah tiada kan", usik Fazila. Jijah hanya membalas dengan senyuman dan bertanya lagi: "Ke mana Farha? Tak dengar dia buat latihan vokal pagi ni. Biasanya hari cuti begini, ada karaoke percuma kat rumah kita".


"Farha ikut Kak Midah pergi pasaraya", jawab Fazila sambil menaip sesuatu di komputer ribanya. "Oh, kenapa awak tak ikut sekali?", soal Jijah lagi. 


"Satu kenderaan kan terhad untuk dua orang je", balas Fazila. 


"Sekarang dah ikut kapasiti kenderaan. Baru je berkuatkuasa semalam", jelas Jijah. Fazila mengangguk tanda faham.


Jijah bingkas bangun, simpan telekung dan meluru ke dapur. Mencari apa yang boleh dibuat sebagai alas perut sebelum membuat persediaan memasak untuk tengah hari. Tika Jijah sibuk memasak, terdengar pintu dikuak dan huluran salam.


"Assalamualaikum, siapa di dalam? Saya di luar", Farha rupanya dengan penuh beg plastik di tangan kanan dan kiri. 


Fazila mengambil beg plastik di tangan Farha dan meletaknya di atas meja makan. Kasihan melihat Farha tercungap-tercungap penat. Mana tidaknya, rumah mereka di tingkat 4. Jenuh juga mendaki berpuluh-puluh anak tangga dengan beg plastik sebanyak itu.


Fazila tercari-tercari di muka pintu sambil bertanya:"Eh, mana Kak Midah? Mung sorang je?.


"Air, air....", balas Farha perlahan sambil duduk di atas kerusi. Fazila ke dapur dan tak lama kemudian datang dengan segelas air kosong.


"Mana Kak Midah?", Jijah pula yang bertanya hairan ke mana pula Kak Midah mereka.


"Kak Midah suruh saya naik atas dulu. Katanya ada sedikit urusan", jelas Farha.


"Urusan apa?", tanya Jijah dan Fazila serentak. "Entahlah belalang...", seloroh Farha sambil tersengih.


Tit tit. Telefon pintar Jijah berbunyi. Ada mesej pesanan ringkas daripada Kak Midah.


"Jijah, sat lagi Kak Midah balik dengan seorang kawan. Hampa sambut macam biasa ja na. Perkenalkan diri dan boleh buat kerja masing-masing. Jangan tanya apa-apa kat kawan akak tu na. Bagitau kat Farha dan Fazila sekali", Jijah sebut satu-persatu pesanan dari Kak Midah kepada semua. Semua terdiam kehairanan sambil memandang di antara satu sama lain.


Jijah terus membalas SMS Kak Midah sambil berjalan ke dapur untuk menyambung kerja memasaknya.


10 minit kemudian, Kak Midah pulang dengan seorang wanita. Usianya lebih kurang pertengahan 40-an.


"La, pasaipa semua tercegat ja ni, mai tolong angkat beg ni. Banyak lagi kat bawah. Farha, mai tolong Kak sat. Kita turun bawah amik beg', leter Kak Midah. 


"Ala, saya dah penat ni. Fazila, hang la turun", jawab Farha sambil mencuit bahu Fazila. Fazila mengangguk sambil menjeling tajam ke arah Farha dan terus masuk ke bilik untuk menukar pakaian.


"Fazila, Kak Midah turun dulu ye. Akak tunggu kat 'parking'', arah Kak Midah. "Baik Kak Midah", jawab Fazila akur.


Tak lama kemudian Fazila keluar dari bilik dan turun ke tingkat bawah mengekori Kak Midah.


Farha mempelawa wanita itu untuk duduk di sofa sambil berkata: "Akak duduklah dulu. Saya ambilkan air". 


"Takpelah dik, akak baru je minum dengan Midah tadi", jawab wanita itu. 


"Kalau begitu, akak berehatlah dulu. Saya nak masuk bilik jap", balas Farha sambil tersenyum. Wanita itu sekadar mengangguk dan turut tersenyum.


"Cantik', getus hati Jijah yang memerhati wanita itu dari dapur.


Selesai menukar pakaian, Farha keluar dari bilik dan turut ke dapur untuk membantu Jijah menghidangkan makanan.


Sesampainya Kak Midah dan Fazila di muka pintu. wanita itu bingkas bangun untuk mengambil beg-beg di tangan Fazila.


"Wah, seronoknya sampai je dah boleh makan", ujar Kak Midah kepenatan sambil meletakkan beg-beg itu di ruang tamu.


"Jom semua, kita makan dulu", pelawa Jijah walaupun dia sebenarnya tak sabar nak tahu siapakah gerangan wanita itu.


"Jom", sahut Farha dan Fazila serentak. "Bab makan laju na hampa", omel Kak Midah. "Kita makan dulu ye, lepas makan kita berkenalan dengan kakak baru kita ni', tambah Kak Midah lagi sambil memegang bahu wanita itu.


"Okey', jawab mereka bertiga serentak.


Bersambung.


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah

Episod 3. Luka Yang Mendalam.

 Episod 3. Luka yang mendalam.


*****


"Jijah, kau ingat Joyah?", soal Aminah perlahan.


"Hurm, ingat tapi taknak ingat. Musuh ketat", jawab Jijah bersahaja.


"Tengok ni", Aminah menghulurkan telefon pintarnya kepada Jijah.


"Kalau tentang Joyah, taknak tengok dan taknak tahu", tegas Jijah tanpa berfikir panjang sambil menghela nafas menyelak langsir dan menjengah ke luar jendela. Melihat hiruk-pikuk kenderaan yang menderu di jalanraya depan pangsapuri mereka berteduh. Merinding hati Jijah mendengar nama itu.


" Jijah", 


Tak sempat Aminah meneruskan kata-katanya, Jijah berkata: "Aku kan dah cakap aku taknak tahu".


Aminah mengerti perasaan Jijah. Mengerti sangat perasaan sahabat karibnya. Persahabatan mereka berdua telah menjangkau hampir 20 tahun. Suka duka yang Jijah lalui, Aminah sangat arif.


"Aku faham emosi kau boleh 'trigger' bila aku sebut nama Joyah, tapi janganlah sampai kau sanggup membiarkan semua penghuni pangsapuri Idaman blok D ni boleh nampak aurat kau tu", ujar Aminah sambil menghulurkan sehelai telekung kepada Jijah.


Jijah tersipu-sipu sambil menyambut huluran telekung dari Aminah lantas menyarungnya. "Wah, bestnya telekung kau ni Aminah, lembut je kainnya. Rasa sejuk je. Kau beli kat mana?. Tak belikan untuk aku pun. Sampai hati kau", leter Jijah panjang.


Lega Aminah mendengar Jijah berleter. "Hari tu aku 'scroll' laman 'facebook' Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, adalah satu video Ustazah pakai telekung ni. Telekung Mihrab namanya. Aku pun rasa terpikat dan terus beli. Memang aku beli untuk kau juga dan mak aku. Tapi aku ingat nak bagi kat kau bulan depan hari ulangtahun persahabatan kita nanti", jelas Aminah sambil tersenyum.


Senyum lebar Jijah mendengarnya. "Terima kasih Aminah", ucap Jijah dengan linangan air mata. Mereka berpelukan. Jijah menambah: " Semoga Allah memberkati persahabatan kita, kekal hingga ke syurgaNya". "Aameen Ya Rab", balas Aminah.


Joyah atau nama sebenarnya Nadiah. Tak pernah ngam dengan Jijah. Dipanggil Joyah kerana mulutnya seperti bertih jagung dan suka mengadu domba sejak di bangku sekolah. Bukan Jijah seorang yang menjadi mangsanya, bahkan hampir semua pelajar perempuan di Sekolah Kebangsaan Teluk Choh hendak dikenakannya. Taktahulah apa yang tak kena dengan Joyah. Jijah di antara mangsa paling teruk dianiaya sehinggakan ayah Jijah jatuh pengsan pada hari itu sehingga membawa kepada sakit berpanjangan dan meninggal dunia tiga bulan selepas kejadian.


Kejadian itu sungguh tak disangka boleh berlaku seumpama itu di kampung yang aman sentosa. Jarang sekali berlaku apa-apa jenayah melainkan adalah budak-budak nakal melepak sampai tengah malam dan haiwan ternakan seperti ayam, kambing kepunyaan orang kampung yang tiba-tiba menghilang tanpa jejak. 


Suspek utama kejadian tersebut yang lain tidak bukan ialah Joyah dan sepupunya Jali. Bilal kampung lah yang berjaya menemui bukti mereka berdua lah dalangnya. 'Keychain'. Ya, 'keychain' yang terukir nama sebenar Joyah. Mungkin 'keychain' itu tercabut daripada beg Joyah dan tersangkut di celah ranting pokok jambu. Joyah jadi takut akibat digasak oleh Tok Imam, Tok Penghulu dan Hajjah Maksu Ti. Hajjah Maksu Ti memang disegani oleh orang muda di kampung. Tuntas Joyah menceritakan hal sebenarnya. Maka, tahulah bahawasanya Jali yang merancang semuanya tapi Joyah tetap bersalah kerana bersubahat apatah lagi diketahui Joyah memang iri hati dengan Jijah.


Peristiwa ini sangat pahit untuk ditelan buat Jijah sekeluarga. Apatah lagi, dek peristiwa itu Jijah kehilangan ayah yang dikasihi. Jijah hampir mengalami kemurungan dan pernah cuba untuk mengambil nyawanya sendiri. Jijah sangat malu dengan orang kampung dan berasa terhina dengan diri sendiri. Aminah lah yang sentiasa di sisi Jijah memberi sokongan dan harapan untuk pulihkan semangat Jijah.


Kata Aminah: "Kau kuat. Kau boleh atasinya. Aku sentiasa ada dengan kau. Allah ada Jijah. Allah ada. Kau tak bersalah. Kau hanya mangsa manusia bertopengkan syaitan".

 

Spritual, emosi dan mental Jijah perlu dipulihkan. Keluarga Jijah sentiasa ada di sisi Jijah. Hajjah Maksu Ti tak putus-putus menghulurkan bantuan. Setiap bulan Jijah dibawa ke pusat perubatan Islam dan sesi kaunseling. Orang kampung pula diberi taklimat oleh Tok Penghulu supaya hentikan cakap-cakap mengenai hal ini. Yang bersalah sudah dibawa ke pihak berwajib. Alhamdulillah, Jijah pulih dengan izinNya. Keluarga Jijah berniat ingin keluar daripada kampung. Tapi telah dihalang oleh Tok Imam. Tok Imam dan Tok Penghulu memberi jaminan bahawasanya Jijah tetap selamat di kampung ini. Mereka berjanji akan melantik peguam jika diperlukan. 


Semoga peristiwa ini memberi pengajaran kepada semua penduduk kampung. Sejak itu, penduduk kampung saling tolong-menolong dan sentiasa bertukar ganti membuat rondaan pada waktu malam. Muda-mudi kampung pula diwajibkan hadir ke kelas agama di masjid agar menjadi penguat dan benteng diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Ibubapa disarankan cakna dengan kegiatan anak-anak di luar rumah dan siapa kawan-kawan mereka. 


Semoga yang bersalah, insaf dan bertaubatlah. Jangan berputus asa memohon keampunan dari Allah Yang Maha Pengampun. Kita satu hari nanti akan kembali kepadaNya, kembalilah kepada Allah dengan bersih daripada dosa dan noda. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang bersalah dan bertaubat. Serta semoga Allah membimbing dan membantu mereka yang teraniaya untuk terus kuat dan bangkit menjalani hari yang mendatang. Luka yang berdarah pasti ada parutnya. Namun, tiadalah ubatnya melainkan dengan kuatkan iman dan taqwa kepada Allah Yang Maha Esa.


Bersambung.


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTem

#DibawahnaunganBasmalah

Episod 2. Apakah Yang Paling Tajam di Dunia?

 Episod 2. Apakah Yang Paling Tajam di Dunia?


*****


"Aminah!".


Aminah tersedar dari lamunan dek pekikan sahabatnya, Izzah atau mesra dipanggil Jijah.


"Jijah, kau ni. Terkejut aku", marah Aminah.


Mereka berdua sahabat baik sejak kecil lagi. Sahabat sepermainan di kebun getah Haji Paksu Rahim. Biji-biji getah dikutip buat main pondok-pondok. Jijah merupakan anak bongsu Pak Kob dan Mak Jah daripada 6 adik-beradik. Adik-beradik Jijah semua bekerja sebagai pendidik melainkan Jijah. Jijah minat berniaga sejak di tadika lagi. Semasa bermain di kebun getah, Jijah akan kutip biji getah sebanyaknya untuk dijual kepada rakan-rakan kelas kami iaitu Yusry, Maghfirah, Latifah dan Luthfi. Kini, Jijah memiliki sebuah butik sendiri. Pakaian rekaan Jijah semua cantik dan tampak moden.


"Aminah, kau dengar tak apa aku cakap ni?", sergah Jijah. 

"Mengelamun la tu", omel Jijah lagi. 


Aminah tersengih menampakkan gigi nya yang putih tersusun rapi. 


"Kau cakap apa tadi, aku tak dengar", balas Aminah. 


"Aku tanya, jadi ke kau nak balik kampung hujung minggu ni?", Jijah mula bertanya.


Aminah terdiam seketika seraya menggangguk. 


"Baguslah, aku pun nak ikut. Kenapa kau pandang aku macam tu", tanya Jijah melihat wajah mulus Aminah menatap wajahnya.


"Biasanya, bila aku ajak kau balik kampung, kau sentiasa mengelak je. Kau kan tak suka balik kampung", balas Aminah sambil tergelak kecil. 

"Aduh", mengaduh Aminah dicubit Jijah. 


"Bukan aku tak suka balik kampung lah. Keadaan yang tak mengizinkan ", Izzah menjawab acuh tak acuh.


"Keadaan tak mengizinkan ke atau kau yang lari dari keadaan", Aminah memintas laju.


Jijah diam membisu.


" Dah la tu, hang tak perlu nak menjolok sarang tebuan Aminah!", tegur Kak Midah. "Hangpa berdua ni dah cukup 2 dos vaksin ke nak balik kampung. Jangan buat pasai na!?", soal Kak Midah lagi. 


"Dah, Kak Midah", jawab mereka berdua serentak.


"Dah cukup 14 hari dah", tambah Aminah. 


"Jijah, aku minta maaf ye. Aku tak berniat nak mengguriskan perasaan kau", pujuk Aminah. 


"Ya, aku maafkan".


"Salam!", pekik Kak Midah dari dapur. 


"Kita ni baik macam mana sekalipun, rapat macam mana sekalipun, cakap tu kena berhati-hati. Lidah ni tak bertulang.  Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya", Kak Midah memberi nasihat. 


"Kalau tak boleh undur, kita 'gostan' jelah Kak Midah", tiba-tiba Farha mencelah.


Ketawa semua isi rumah.


"Amboi, sibuk nak menyampuk jugak na orang tu. Semalam merajuk kena marah", kata Kak Midah.


Kak Midah yang berasal dari utara ni kenalan rapat abang Jijah, Syafiq semasa mereka sama-sama menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi lebih 10 tahun yang lalu. Syafiq lah yang menyarankan Jijah dan Aminah tinggal bersama dengan Kak Midah. Tambahan pula, Kak Midah sedang mencari penyewa baru ketika itu. Penyewa yang lama; Kak Husna, Kak As dan Kak Ju semua dah ke jinjang pelamin, jadi  tinggal dengan pasangan masing-masing. Kak Midah pun sebenarnya dah berkahwin dengan jejakan pilihan keluarga, tetapi terpaksa tinggal berjauhan kerana suaminya turut bertugas sebagai pendidik di bumi Kenyalang.


Hujung bulan lepas, sudah 2 tahun mereka tinggal bersama. Kak Midah ni pandai memasak dan rajin mengemas rumah. Walaupun nampak garang, tapi penyayang orangnya. Penyewa baru tiga bulan, Fazila dan Farha acapkali dimarah oleh Kak Midah kerana biarkan bilik mereka seperti tongkang pecah. Tapi, mereka berdua tak pernah ambil hati.


Memang benar kata Kak Midah, lidah tak bertulang. Kita mudah menutur kata, tanpa kita sedar mudah juga menikam hati insan yang kita sayang sekelip mata.


Jijah mengekori Aminah masuk ke dalam bilik.


Sambil tutup pintu, Jijah dengan tak sabar terus bertanya kepada Aminah. 

"Aminah, apa yang kau menungkan tadi?", soal Jijah. 


"Bila?", soalan Jijah dijawab dengan soalan juga.


"Masa depan tv tadi", kata Jijah. 


"Jijah", Aminah mula nak bercerita tentang mesej pesanan ringkas yang sangat mengejutkan sebentar tadi.


Bersambung. 


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah

Episod 1. Kembali.

 Di bawah Naungan Basmalah.


Episod 1. Kembali.


*****


"Hidup ini telah saya pasrahkan kepada Allah".


Aminah terpana dengan lontaran ayat itu. Ringkas dan padat mesej pesanan ringkas yang baru menjengah ke telefon pintarnya. Hatinya terjentik. Bahkan rasa tertampar. Aminah berasa malu sendiri. Malu dengan Allah.


Kisah suka duka yang pernah dilaluinya disoroti satu persatu.


Aminah merupakan pelajar pintar di Sekolah Kebangsaan Teluk Choh. Sekolah yang kecil tetapi hebat melahirkan ratusan anak kampung yang berjaya itu terletak sejauh 7 kilometer dari rumahnya. Rumah yang tidak seperti rumah itu dihuni bersama kedua orang tuanya. 


Aminah anak tunggal Mak Bedah dan Pak Mus. Pak Mus seorang ayah yang gigih bekerja. Dinihari saja Pak Mus mengayuh basikal tuanya pergi ke Bukit Gatal untuk menoreh. Kebun getah milik orang kaya Kampung Gatal, Haji Paksu Rahim. Cukup seminggu dapatlah Pak Mus upah menoreh jika di musim kemarau. Kalau musim tengkujuh, berminggu-minggu jugaklah baru Pak Mus dapat hasil.


Haji Paksu Rahim memang tak pernah berkira dengan ayah Aminah. Haji Pak Su Rahim sudah mengangap keluarga Pak Mus ni seperti keluarganya sendiri. Isteri Haji Paksu Rahim, Hajjah Maksu Ti pun sayang sangat dengan Aminah. Manakan tidak, mereka berdua tiada anak perempuan. 7 orang anak mereka semuanya lelaki. Kepada Aminahlah mereka menumpang kasih anak perempuan.


Mak Bedah pula pandai buat kuih. Kuih-muih Mak Bedah sedap belaka. Mak Bedah bangun seawal tiga pagi untuk menggoreng dan mengukus kuih-muihnya. Malam sebelumnya Mak Bedah mengadun dan menguli adunan kuih-muih sambil dibantu Pak Mus. Seusai solat subuh, Aminah membantu mengisi kuih-muih ke dalam bakul. Mereka berdua melenggang bersama menghantar kuih ke warung roti canai Cik Nah. Kuih yang paling laris ialah pulut berinti dan serikaya. Kuih kegemaran Aminah. 


Hari itu ialah hari Rabu. Aminah sangat gembira dapat berbaju lengkap pasukan pandu puteri. Hajjah Maksu Ti yang belikan untuk Aminah minggu lepas. Di warung Cik Nah, Aminah berlari-lari riang sambil mengunyah roti canai. Sudah ditegah Mak Bedah supaya tidak berlari-lari di dalam warung Cik Nah. "Aminah, makan tu eloknya duduk jangan berlari nanti jatuh nak", pesan Mak bedah. "Biarlah, budak-budak", seleroh Cik Nah. Makin riang Aminah sambil berpusing-berpusing dengan baju barunya.


Tiba-tiba. " Aminah", jerit Mak Bedah.


Bersambung. 


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah