Jumaat, 27 Ogos 2021

Episod 4. Orang Baru. Siapa tu?.

 Episod 4. Orang baru. Siapa Tu?.


*****

"Eh, mana semua orang ni? Senyap sunyi je", Jijah mengomel sendirian. Jijah terlelap selepas solat subuh dan mengaji di ruang tamu.


Sudah menjadi kebiasaan, semua isi rumah solat berjemaah di ruang tamu dan tadabbur al-Quran bersama. Solat berjemaah sudah menjadi kelaziman bagi Kak Midah sejak menuntut ilmu dahulu. Usrah yang diikuti Kak Midah mendidik Kak Midah menjadikan solat berjemaah sebagai sumber kekuatan dan pemangkin semangat untuk meneruskan aktiviti seharian. Kak Midah mengambil kesempatan melatih adik-adiknya menlazimi solat berjemaah sebagai rutin harian.


Tambahan pula, kehadiran wabak yang telah sekian lama melanda negara Malaysia dan seluruh dunia sungguh menguji keimanan kita. Bukan sekadar aktiviti harian yang terjejas, malah aktiviti agama, sosio-ekonomi juga turut menerima  tempias yang sama. Pandemik ini sudah lama berlarutan sejak awal tahun 2020. Kesabaran seluruh negara teruji. Ujian yang dahsyat ini perlu dilalui dengan sabar yang utuh. Keutuhan iman dan taqwa perlu dibajai dengan solat, puasa, zikir dan doa saban waktu. Apatah lagi kita berada di akhir zaman, fitnah begitu dahsyat melata sana-sini. Kecanggihan teknologi jika tidak diurus dengan berhati-hati, mudah menjerumuskan kita ke dalam kancah maksiat mahupun jenayah.


"Oh, lupa. Aminah pulang ke kampung hari ini", omel Jijah lagi. 


Fazila dari tadi lagi memerhati gelagat Jijah dan seraya berkata: "Kak Jijah, kenapa Kak Jijah cakap sorang-sorang ni?".


"Tiada apa. Ingatkan semua orang tiada di rumah. Sunyi je", balas Jijah sambil tersenyum.


"Alah, Kak Jijah berasa sunyi sebab Kak Aminah tiada kan", usik Fazila. Jijah hanya membalas dengan senyuman dan bertanya lagi: "Ke mana Farha? Tak dengar dia buat latihan vokal pagi ni. Biasanya hari cuti begini, ada karaoke percuma kat rumah kita".


"Farha ikut Kak Midah pergi pasaraya", jawab Fazila sambil menaip sesuatu di komputer ribanya. "Oh, kenapa awak tak ikut sekali?", soal Jijah lagi. 


"Satu kenderaan kan terhad untuk dua orang je", balas Fazila. 


"Sekarang dah ikut kapasiti kenderaan. Baru je berkuatkuasa semalam", jelas Jijah. Fazila mengangguk tanda faham.


Jijah bingkas bangun, simpan telekung dan meluru ke dapur. Mencari apa yang boleh dibuat sebagai alas perut sebelum membuat persediaan memasak untuk tengah hari. Tika Jijah sibuk memasak, terdengar pintu dikuak dan huluran salam.


"Assalamualaikum, siapa di dalam? Saya di luar", Farha rupanya dengan penuh beg plastik di tangan kanan dan kiri. 


Fazila mengambil beg plastik di tangan Farha dan meletaknya di atas meja makan. Kasihan melihat Farha tercungap-tercungap penat. Mana tidaknya, rumah mereka di tingkat 4. Jenuh juga mendaki berpuluh-puluh anak tangga dengan beg plastik sebanyak itu.


Fazila tercari-tercari di muka pintu sambil bertanya:"Eh, mana Kak Midah? Mung sorang je?.


"Air, air....", balas Farha perlahan sambil duduk di atas kerusi. Fazila ke dapur dan tak lama kemudian datang dengan segelas air kosong.


"Mana Kak Midah?", Jijah pula yang bertanya hairan ke mana pula Kak Midah mereka.


"Kak Midah suruh saya naik atas dulu. Katanya ada sedikit urusan", jelas Farha.


"Urusan apa?", tanya Jijah dan Fazila serentak. "Entahlah belalang...", seloroh Farha sambil tersengih.


Tit tit. Telefon pintar Jijah berbunyi. Ada mesej pesanan ringkas daripada Kak Midah.


"Jijah, sat lagi Kak Midah balik dengan seorang kawan. Hampa sambut macam biasa ja na. Perkenalkan diri dan boleh buat kerja masing-masing. Jangan tanya apa-apa kat kawan akak tu na. Bagitau kat Farha dan Fazila sekali", Jijah sebut satu-persatu pesanan dari Kak Midah kepada semua. Semua terdiam kehairanan sambil memandang di antara satu sama lain.


Jijah terus membalas SMS Kak Midah sambil berjalan ke dapur untuk menyambung kerja memasaknya.


10 minit kemudian, Kak Midah pulang dengan seorang wanita. Usianya lebih kurang pertengahan 40-an.


"La, pasaipa semua tercegat ja ni, mai tolong angkat beg ni. Banyak lagi kat bawah. Farha, mai tolong Kak sat. Kita turun bawah amik beg', leter Kak Midah. 


"Ala, saya dah penat ni. Fazila, hang la turun", jawab Farha sambil mencuit bahu Fazila. Fazila mengangguk sambil menjeling tajam ke arah Farha dan terus masuk ke bilik untuk menukar pakaian.


"Fazila, Kak Midah turun dulu ye. Akak tunggu kat 'parking'', arah Kak Midah. "Baik Kak Midah", jawab Fazila akur.


Tak lama kemudian Fazila keluar dari bilik dan turun ke tingkat bawah mengekori Kak Midah.


Farha mempelawa wanita itu untuk duduk di sofa sambil berkata: "Akak duduklah dulu. Saya ambilkan air". 


"Takpelah dik, akak baru je minum dengan Midah tadi", jawab wanita itu. 


"Kalau begitu, akak berehatlah dulu. Saya nak masuk bilik jap", balas Farha sambil tersenyum. Wanita itu sekadar mengangguk dan turut tersenyum.


"Cantik', getus hati Jijah yang memerhati wanita itu dari dapur.


Selesai menukar pakaian, Farha keluar dari bilik dan turut ke dapur untuk membantu Jijah menghidangkan makanan.


Sesampainya Kak Midah dan Fazila di muka pintu. wanita itu bingkas bangun untuk mengambil beg-beg di tangan Fazila.


"Wah, seronoknya sampai je dah boleh makan", ujar Kak Midah kepenatan sambil meletakkan beg-beg itu di ruang tamu.


"Jom semua, kita makan dulu", pelawa Jijah walaupun dia sebenarnya tak sabar nak tahu siapakah gerangan wanita itu.


"Jom", sahut Farha dan Fazila serentak. "Bab makan laju na hampa", omel Kak Midah. "Kita makan dulu ye, lepas makan kita berkenalan dengan kakak baru kita ni', tambah Kak Midah lagi sambil memegang bahu wanita itu.


"Okey', jawab mereka bertiga serentak.


Bersambung.


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan