Jumaat, 27 Ogos 2021

Episod 1. Kembali.

 Di bawah Naungan Basmalah.


Episod 1. Kembali.


*****


"Hidup ini telah saya pasrahkan kepada Allah".


Aminah terpana dengan lontaran ayat itu. Ringkas dan padat mesej pesanan ringkas yang baru menjengah ke telefon pintarnya. Hatinya terjentik. Bahkan rasa tertampar. Aminah berasa malu sendiri. Malu dengan Allah.


Kisah suka duka yang pernah dilaluinya disoroti satu persatu.


Aminah merupakan pelajar pintar di Sekolah Kebangsaan Teluk Choh. Sekolah yang kecil tetapi hebat melahirkan ratusan anak kampung yang berjaya itu terletak sejauh 7 kilometer dari rumahnya. Rumah yang tidak seperti rumah itu dihuni bersama kedua orang tuanya. 


Aminah anak tunggal Mak Bedah dan Pak Mus. Pak Mus seorang ayah yang gigih bekerja. Dinihari saja Pak Mus mengayuh basikal tuanya pergi ke Bukit Gatal untuk menoreh. Kebun getah milik orang kaya Kampung Gatal, Haji Paksu Rahim. Cukup seminggu dapatlah Pak Mus upah menoreh jika di musim kemarau. Kalau musim tengkujuh, berminggu-minggu jugaklah baru Pak Mus dapat hasil.


Haji Paksu Rahim memang tak pernah berkira dengan ayah Aminah. Haji Pak Su Rahim sudah mengangap keluarga Pak Mus ni seperti keluarganya sendiri. Isteri Haji Paksu Rahim, Hajjah Maksu Ti pun sayang sangat dengan Aminah. Manakan tidak, mereka berdua tiada anak perempuan. 7 orang anak mereka semuanya lelaki. Kepada Aminahlah mereka menumpang kasih anak perempuan.


Mak Bedah pula pandai buat kuih. Kuih-muih Mak Bedah sedap belaka. Mak Bedah bangun seawal tiga pagi untuk menggoreng dan mengukus kuih-muihnya. Malam sebelumnya Mak Bedah mengadun dan menguli adunan kuih-muih sambil dibantu Pak Mus. Seusai solat subuh, Aminah membantu mengisi kuih-muih ke dalam bakul. Mereka berdua melenggang bersama menghantar kuih ke warung roti canai Cik Nah. Kuih yang paling laris ialah pulut berinti dan serikaya. Kuih kegemaran Aminah. 


Hari itu ialah hari Rabu. Aminah sangat gembira dapat berbaju lengkap pasukan pandu puteri. Hajjah Maksu Ti yang belikan untuk Aminah minggu lepas. Di warung Cik Nah, Aminah berlari-lari riang sambil mengunyah roti canai. Sudah ditegah Mak Bedah supaya tidak berlari-lari di dalam warung Cik Nah. "Aminah, makan tu eloknya duduk jangan berlari nanti jatuh nak", pesan Mak bedah. "Biarlah, budak-budak", seleroh Cik Nah. Makin riang Aminah sambil berpusing-berpusing dengan baju barunya.


Tiba-tiba. " Aminah", jerit Mak Bedah.


Bersambung. 


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan