Selasa, 12 Oktober 2021

Episod 6. Mendung.

 Episod 6. Mendung.


*****


"Mana Aminah ni, maknya. Dah berpuluh-puluh kali kita bagi salam", leter Pak Mus yang sudah penat mengetuk pintu lalu bersandar di dinding.


"Tidur gamaknya, Ayahnya", jawab Mak Bedah sambil mengibas-ngibas badan.


"Cuba Maknya ketuk jendela di bilik Aminah tu", Pak Mus masih tidak berpuas hati.


"Sudah Ayahnya, sampai sakit tangan saya ni haa...", balas Mak Bedah sambil menunjuk penumbuk tangannya yang sedikit kemerahan.


Aminah yang sedang lena terkejut apabila mendengar perbualan mereka berdua, lalu bingkas bangun.


"Maaf emak, ayah. Aminah tertidur", Aminah mengenyeh matanya sambil membuka pintu. "Sebenarnya, Aminah tak kunci pun pintu ni", ujar Aminah sambil tersengih.


"Laa, yeke", ucap Mak Bedah sambil ketawa kecil. "Ayahnya tak cuba pusing tombol pintu dulu ke tadi?", tanya Mak Bedah kepada Pak Mus.


"Entahlah, saya ingatkan Aminah kunci pintu. Kenapa tak kunci pintu nak oi, bahaya. Zaman sekarang ni kita tak boleh sambil lewa. Kalau terlalai walaupun sesaat, buruk akibatnya", Pak Mus mengingatkan sambil masuk ke dalam rumah, menarik kerusi dan melabuhkan punggunggnya ke atas kerusi di meja makan.


"Betul cakap ayah kamu tu Aminah", tambah Mak Bedah mengiyakan kata-kata suaminya.


"Baik, Mak, Ayah. Mak dan ayah sudah makan ke?", soal Aminah pula.


"Kami belum makan, Aminah. Ayah kamu ni tak sabar nak balik rumah, lapar katanya. Tadi mak nak cepat, tak sempat nak makan". jawab Mak Bedah sambil membuka tudung saji.


"Eh, lauk tak terusik pun. Kamu belum makan ke, Aminah?", soal Mak Bedah pula.


"Belum, Mak. Aminah tunggu mak dan ayah nak makan sama-sama", jawab Aminah sambil mengambil tiga biji pinggan di rak pinggan.


"Kalau begitu, marilah kita makan. Lepas makan, kita solat zohor sama-sama", ujar Pak Mus sambil menyedok nasi ke pinggan.


~~~


Usai solat zohor.


Mak Bedah melipat telekung dan sejadah sambil berkata kepada Aminah: "Aminah, kamu mesti penat kan. Kalau nak berehat, pergilah berehat".


"Tak penat sangat pun, Mak. Mak, Aminah nak bertanya, mak dan ayah pergi ke mana tadi?", balas Aminah dengan soalan juga sambil memicit betis ayahnya.


Mak Bedah mengerling ke arah Pak Mus. Pak Mus membalas kerlingan Mak Bedah dengan berdehem sahaja. Bertambah-tambah kehairanan Aminah melihat lagak mereka berdua.


Kata Mak Bedah: "Ceritalah ayahnya". 


"Maknya sahajalah yang cerita. Saya nak lena sekejap sebelum masuk waktu asar", balas Pak Mus sambil mengiringkan badannya mengadap kiblat.


"Ceritalah, Mak", Aminah pula tak sabar.


"Macam ni, mak dan ayah pergi ke rumah Mak Teh kamu. Mak Teh kurang sihat. Hajjah Maksu Ti yang telefon mak semalam, minta tolong mak jengukkan Mak Teh tu", jelas Mak Bedah secara ringkas.


"Mak Teh yang mana satu, mak?", soal Aminah lagi.


"Oh, lupa pula mak. kita ada dua orang Mak Teh, Mak Teh Kassim", jawab Mak Bedah bersahaja sambil bangun menuju ke dapur.


Aminah terpinga-terpinga dengan cerita maknya yang terhenti begitu sahaja. Seolah-olah sengaja dibiarkan tergantung atau ada sesuatu yang ingin disembunyikan. "Mak nak ke mana tu?", tanya Aminah sambil mengekori maknya yang sedang menyarung selipar jepun yang sudah lusuh.


"Mak nak angkat kain jap. Nampak mendung pula", jawab Mak Bedah sambil mendongak ke langit. 


*****


Bersambung.


*****


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DiBawahNaunganBasmalah


12 Oktober 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan