Jumaat, 27 Ogos 2021

Episod 2. Apakah Yang Paling Tajam di Dunia?

 Episod 2. Apakah Yang Paling Tajam di Dunia?


*****


"Aminah!".


Aminah tersedar dari lamunan dek pekikan sahabatnya, Izzah atau mesra dipanggil Jijah.


"Jijah, kau ni. Terkejut aku", marah Aminah.


Mereka berdua sahabat baik sejak kecil lagi. Sahabat sepermainan di kebun getah Haji Paksu Rahim. Biji-biji getah dikutip buat main pondok-pondok. Jijah merupakan anak bongsu Pak Kob dan Mak Jah daripada 6 adik-beradik. Adik-beradik Jijah semua bekerja sebagai pendidik melainkan Jijah. Jijah minat berniaga sejak di tadika lagi. Semasa bermain di kebun getah, Jijah akan kutip biji getah sebanyaknya untuk dijual kepada rakan-rakan kelas kami iaitu Yusry, Maghfirah, Latifah dan Luthfi. Kini, Jijah memiliki sebuah butik sendiri. Pakaian rekaan Jijah semua cantik dan tampak moden.


"Aminah, kau dengar tak apa aku cakap ni?", sergah Jijah. 

"Mengelamun la tu", omel Jijah lagi. 


Aminah tersengih menampakkan gigi nya yang putih tersusun rapi. 


"Kau cakap apa tadi, aku tak dengar", balas Aminah. 


"Aku tanya, jadi ke kau nak balik kampung hujung minggu ni?", Jijah mula bertanya.


Aminah terdiam seketika seraya menggangguk. 


"Baguslah, aku pun nak ikut. Kenapa kau pandang aku macam tu", tanya Jijah melihat wajah mulus Aminah menatap wajahnya.


"Biasanya, bila aku ajak kau balik kampung, kau sentiasa mengelak je. Kau kan tak suka balik kampung", balas Aminah sambil tergelak kecil. 

"Aduh", mengaduh Aminah dicubit Jijah. 


"Bukan aku tak suka balik kampung lah. Keadaan yang tak mengizinkan ", Izzah menjawab acuh tak acuh.


"Keadaan tak mengizinkan ke atau kau yang lari dari keadaan", Aminah memintas laju.


Jijah diam membisu.


" Dah la tu, hang tak perlu nak menjolok sarang tebuan Aminah!", tegur Kak Midah. "Hangpa berdua ni dah cukup 2 dos vaksin ke nak balik kampung. Jangan buat pasai na!?", soal Kak Midah lagi. 


"Dah, Kak Midah", jawab mereka berdua serentak.


"Dah cukup 14 hari dah", tambah Aminah. 


"Jijah, aku minta maaf ye. Aku tak berniat nak mengguriskan perasaan kau", pujuk Aminah. 


"Ya, aku maafkan".


"Salam!", pekik Kak Midah dari dapur. 


"Kita ni baik macam mana sekalipun, rapat macam mana sekalipun, cakap tu kena berhati-hati. Lidah ni tak bertulang.  Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya", Kak Midah memberi nasihat. 


"Kalau tak boleh undur, kita 'gostan' jelah Kak Midah", tiba-tiba Farha mencelah.


Ketawa semua isi rumah.


"Amboi, sibuk nak menyampuk jugak na orang tu. Semalam merajuk kena marah", kata Kak Midah.


Kak Midah yang berasal dari utara ni kenalan rapat abang Jijah, Syafiq semasa mereka sama-sama menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi lebih 10 tahun yang lalu. Syafiq lah yang menyarankan Jijah dan Aminah tinggal bersama dengan Kak Midah. Tambahan pula, Kak Midah sedang mencari penyewa baru ketika itu. Penyewa yang lama; Kak Husna, Kak As dan Kak Ju semua dah ke jinjang pelamin, jadi  tinggal dengan pasangan masing-masing. Kak Midah pun sebenarnya dah berkahwin dengan jejakan pilihan keluarga, tetapi terpaksa tinggal berjauhan kerana suaminya turut bertugas sebagai pendidik di bumi Kenyalang.


Hujung bulan lepas, sudah 2 tahun mereka tinggal bersama. Kak Midah ni pandai memasak dan rajin mengemas rumah. Walaupun nampak garang, tapi penyayang orangnya. Penyewa baru tiga bulan, Fazila dan Farha acapkali dimarah oleh Kak Midah kerana biarkan bilik mereka seperti tongkang pecah. Tapi, mereka berdua tak pernah ambil hati.


Memang benar kata Kak Midah, lidah tak bertulang. Kita mudah menutur kata, tanpa kita sedar mudah juga menikam hati insan yang kita sayang sekelip mata.


Jijah mengekori Aminah masuk ke dalam bilik.


Sambil tutup pintu, Jijah dengan tak sabar terus bertanya kepada Aminah. 

"Aminah, apa yang kau menungkan tadi?", soal Jijah. 


"Bila?", soalan Jijah dijawab dengan soalan juga.


"Masa depan tv tadi", kata Jijah. 


"Jijah", Aminah mula nak bercerita tentang mesej pesanan ringkas yang sangat mengejutkan sebentar tadi.


Bersambung. 


#SahabatMihrab

#MihrabCoaching

#FatehTeam

#DibawahNaunganBasmalah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan